Wednesday, October 13, 2010

Madu IS Sweet

            “ EH, jangan nak buat lawak bangang antarabangsa kat sini pulak! Tak kelakar, okey!”

            “ Ada saya buat lawak ke? Ada awak tengok saya tengah ketawa ke?”

            Masnawati terus membaling bantal di tangannya. Kepala Shafiq menjadi sasaran. Geram!

            “ Oit! Apa ni? Derhaka ke? Saya ni laki awak tau!”

            Mas menjuih bibir. Sekarang baru nak mengaku laki! Tadi bersuka – suka hati dengan si Lynn tu, tak ingat pulak aku yang makan hati kat sini! Argh! Tak peduli! Apa yang dia buat tadi memang menguji kesabaran. Ambik! Rasakan! Kurang – kurang, hilang sikit rasa marah kat hati ni.

            Shafiq mengambil tempat di sofa yang berhadapan dengan katil mereka sambil terus menggosok kepalanya.

            Sabar ajelah. Ada ke dapat bini buat perangai macam ni?! Gila betul perempuan ni.

            “ Awak biar betul! Takkan awak nak teruskan jugak idea gila awak tu?”

            “ Apa yang gila sangatnya cik Mas ooi! Saya ajak awak balik beraya di kampung saya je pun. Hah, cuba beritahu tang mananya yang gila sangat pasal idea saya ni?”

            “ Awak tu dah gila sebab nak bawak Lynn balik sama. Tahun ni kan turn saya yang balik beraya dengan awak, apa kes nak bawak Lynn balik sama pulak? Biarlah dia balik kampung dia sendiri. Tak boleh! Tak nak! Saya tak setuju! Saya tak nak dia ikut sekali!”

            Shafiq mengeluh panjang. Susah betul bila dapat bini yang keras kepala mengalahkan lembu ni. Eh, Kajol, lembu aku kat kampung tu lagi senang nak jaga dari perempuan nama Masnawati ni tau! Harap je bini, marah lebih – lebih pun, tapi  sayang jugak! Cet!

            “ Awak ni kan, cubalah jadi orang yang memahami sikit. Mak ayah Lynn tu baru je meninggal awal tahun hari tu. Dia nak balik kampung mana laginya? Dia dah tak ada siapa – siapa dah. Dia tu anak tunggal, saudara mara pun dah tak ada. Takkan saya nak tinggal dia beraya sorang – sorang dekat Kuala Lumpur ni? Cuba bawak berfikir sikit cik Mas ooi…Jangan asyik nak menggila aje. Lagipun, bukan awak jugak ke yang dulu suruh saya jaga dia? Sekarang bila orang nak jaga, dia marah – marah pulak! Hish!”

            “ Tapi…”

            “ Argh…Tak ada tapi - tapi! Tahun ni memang turn balik kampung saya, dan saya putuskan yang kita bertiga balik sekali! Muktamad!” 

            “ Hish! Benci!” Mas terus bangun dan meluru keluar. Pintu bilik dihempas sekuat hati.

            “ Hah! Merajuklah! Tak kuasa saya nak pujuk!” Shafiq menjerit dari dalam bilik. Mahu dibiarkan dahulu angin taufan isterinya itu reda dahulu.

            “ Baik aku tidur dulu!” Shafiq terus terjun ke atas katil dan sekejap sahaja dia terus terlelap.

~~~~~~~~~~

            MAS duduk di gazebo di halaman rumahnya, termenung memikirkan nasib diri. Umur baru je masuk 27 tahun tapi dah hidup bermadu. Pelik tak?! Sebab dia sendiri pun macam blur – blur lagi.

Biasanya, orang perempuan ni dimadukan  sebab diri dah tak vogue ke apa tapi aku ni beranak pun belum, badan pun bergetah lagi, tapi nak buat macam mana, dia jugak yang suruh Shafiq tu kahwin dengan Lynn, kawan baiknya sendiri. Tapi itu dululah. Sekarang ni dah jadi ‘madu terchenta’ pulak, tak baik dah! Kalau dulu, nak bertepuk – tampar, relaks aje tapi sekarang kalau jumpa, memang betul bertamparan sesama sendiri. Tak tahu kenapa, kalau jumpa memang berbulu biji mata ni.

            Mas terus termenung mengenangkan kisah empat bulan lepas.

            Dia menopang dagu dan mengeluh panjang. “ Kalaulah aku tak pernah cakap macam tu dulu…”

~~~~~~~~~~

            “ AWAK, janji dengan saya satu benda boleh?”

            “ Anything, cakap aje apa yang awak nak, saya janji akan cuba tunaikan.” Shafiq mengenggam erat tangan isterinya itu. Dia takut. Dia takut dia akan kehilangan isterinya itu.

            “ Saya nak awak kahwin dengan Lynn.”

            Lynn terpempan. Shafiq tergamam. Dahinya terus berkerut seribu.

            “ Awak, apa awak cakap ni? Awak sedar tak apa yang awak tengah mintak ni?” Tanya Shafiq semula kepada Masnahwati, isterinya itu. Tak ada perempuan yang rela bermadu tetapi isterinya ini, lain pula halnya.

            “ Entahlah kau ni Mas! Kau dah gila ke?” Sampuk Lynn pula.

            “ Eh, aku tahulah apa yang aku cakap ni. Aku nak mati je tapi tak gila lagi tau!” Tukas Mas semula dengan nada marah. Dadanya berombak semula dengan nafasnya turun naik.

            Shafiq terus menarik Mas ke dalam pelukannya.

            “ Awak…Sabar awak...Lynn tak bermaksud macam tu. Awak pun tahu yang kita orang terkejut dengan apa yang awak minta ni...”

            “ Kalau macam tu, awak setujulah ye? Lynn, kau pun, please?”

            “ Tapi, kenapa kau nakkan semua ni? Kau sanggup bermadu? Dengan aku pulak tu? Kau tak menyesal nanti?”

            Mas tersenyum sahaja mendengar semua itu. Ya, memang dia sudah bernekad. Sudah dia fikirkan sehabis mungkin. Memang dia tidak rela jika Shafiq jatuh ke tangan perempuan lain, tapi tidak mungkin dia mahu meninggalkan Shafiq terkapai – kapai seorang diri sesudah pemergiannya nanti. Dan Lynn, dia telah menganggap Lynn seperti darah dagingnya sendiri. Dia tidak kisah jika Lynn yang mengambil alih tempatnya nanti. Ya, dia yakin dengan keputusannya ini. Tidak mungkin dia akan berpaling lagi.

            “ Lynn pun sekarang dah tak ada siapa – siapa. Awak pun…” Mas berjeda apabila melihat wajah sayu suaminya. Cepat – cepat dia menyeka air matanya yang mula meleleh di pipi.

            “ Bila saya dah tak ada nanti, ada jugak yang jagakan awak. Kan?” Mas meraup wajah suaminya itu, cuba memujuk supaya dia bersetuju dengan permintaannya itu. Shafiq diam sahaja dan Mas menganggap itu sebagai tanda setuju suaminya.

            “ Lynn, kau?” Mas bertanya pada kawannya itu pula. Mulanya, Lynn teragak – agak hendak memberi jawapan, tetapi apabila melihat wajah mas yang penuh dengan harapan itu, dia tidak sampai hati untuk berkata tidak. Lambat – lambat sahaja dia menganggukkan kepala.

~~~~~~~~~~

            HENDAK dipendekkan cerita, hujung minggu tu jugak Shafiq dan Lynn selamat bernikah dan pembedahan jantung yang harus dilalui Mas berlangsung. Kata doktor, memang harapannya tipis untuk selamat dan sebab itulah dia meminta suaminya berkahwin dengan Lynn tetapi tuhan tu Maha Berkuasa. Ajalnya masih belum sampai. Dia selamat menjalani pembedahan itu dan here we now, still standing and strong.

And Lynn, still lagi bergelar isteri Shafiq and they live happily… not ever after yet. Aku ada lagi kat sini. Bila jumpa, memang awkward habis. Tengok dia pegang Shafiq sikit, aku dah berapi tapi aku nak buat macam mana, dia pun ada hak jugak pada Shafiq. Aku jugak yang baik hati bagi hak tu dulu. So, baik tak payah jumpa! Tapi ini nak beraya sama – sama pulak? Haru hidup. Dahlah ada dua minggu lagi nak raya and cuti raya pulak seminggu. Tiga minggu semuanya nak kena mengadap muka dia. Macam mana tu? Berasap - asaplah aku hari – hari nanti.

~~~~~~~~~~

MAS, tak payahlah nak pura – pura tidur. Saya tahu awak buat – buat je tu... Nampak sangat mata tu dok terkedip – kedip, hah...”

Lynn terus menekup mulut, menahan tawa. Mas terus bangun semula dengan muka cemberut. Shafiq sudah ketawa besar.

Hish! Suka nampak! Ingat raya dah ke ketawa sikit punya meriah! Huh! Menyampah!

“ Alahai, cubalah senyum sikit. Jangan asyik masam je. Nanti bila dah sampai next stop, awak duduklah depan semula. Take turn gitu. Takkan itu pun nak masam muka jugak kot.  Senyum sikit bagi nampak gigi…”

Mas terus menayang barisan giginya. Nak tengok sangat kan! Hah, ambik!

“ Ceh, itu tak ikhlas tayang gigi tu!” Omel Shafiq semula. Apa lagilah yang harus dia buat untuk memujuk hati isterinya yang satu itu. Dah giliran dia bermalam di rumah Lynn semalam dan pagi ini, dari rumah Lynn, mereka ke Puchong untuk mengambil Mas sebelum bertolak ke Sungai Petani. Ada aje Lynn offer suruh duduk depan tadi, tapi dia jugak sengaja jual mahal. Sekarang, buat muka pulak! Macam mana tu?

“  Lah, awak ni kan, memanglah! Kalau awak nak sangat duduk depan, hah, meh! Duduk depan Lynn tu, boleh ganti iklan Avanza dalam tv tu. Avanza muat letak tujuh kan, tapi saya bawak Persona je, so setakat dua orang tu, mampu je nak sumbat. Nak? Saya berhenti ni!” Shafiq mula memperlahan kereta dan memberi lampu isyarat ke kiri.

Mata Mas terus membulat. Eh, jangan nak buat gila. Tak kelakar, okey!

“ Tak payah mengadalah! Jalan je terus! Ada pulak nak suruh dua orang duduk depan?!”

“ Lah, tak nak pulak! Memanglah…” Percakapan Shafiq terhenti apabila dia disingguh oleh Lynn.

“ Jangan dilayan sangat sewel abang Shafiq ni, Mas. Nanti buat sakit jiwa aje… Buat tak tahu sudah!” Lynn cuba meredakan keadaan. Dia tahu yang Shafiq cuba bergurau namun dalam keadaan yang macam ni, baik jangan cari pasal. Lagi angin si Mas  tu nanti dibuatnya.

Mas mencebik. Amboi, bercakap macam kenal 10 tahun aje. Aku tahulah dia macam mana. Laki aku. Tapi laki dia jugak kan? Hish! Argh…Tak kira! Aku kenal Shafiq lagi lama dari kau. Aku bini tua, so aku kenalah dapat lebih kan?

~~~~~~~~

EH, dua – dua balik sekali?” Mak cik Rahmah buat muka terkejut bila nampak Lynn dan Mas keluar dari kereta. Shafiq tersenyum sahaja. Sengaja tidak diberitahu pada ibunya yang Lynn akan balik sekali, buat surprise gitu!

Selesai bersalaman, Lynn dan Mas masing – masing terus naik ke atas rumah. Mak cik Rahmah pula terus menarik anaknya.

“ Apa cer tu?” Tanya Mak cik Rahmah pada Shafiq.

Shafiq bulat mata. Aisey! Bahasa boleh tahan rock pulak mak aku ni! Apa cer? Maju!

Shafiq merangkul bahu emaknya itu dan mereka jalan beriring.

“ Mak, Shafiq nak minta tolong mak sikit.”

“ Tolong apa?”

“ Tu…” Mulutnya memuncung menunjuk ke arah dua isterinya itu.

~~~~~~~~
           
            “ Mas, Lynn…Mari sini kejap!” Mak cik Rahmah menjerit dari dapur memanggil kedua menantunya itu. Mas terus keluar dari biliknya dan Lynn pula keluar dari bilik di sebelahnya. Mas jeling Lynn, Lynn jeling Mas. Lepas tu, dua – duanya buat tak tahu. Lynn hanya angkat bahu dan membiarkan Mas berjalan dahulu. Dia mengikut sahaja dari belakang.

            “ Ada apa mak?” Mas bertanya sambil matanya sudah melekat melihat makhluk yang berada dalam sinki. Dia sudah naik juling. Rasa nak pitam pun ada.

            Lynn telan air liur. Gila! Mati aku!

            Mak cik Rahmah senyum baik punya. “ Nampak apa benda dalam sink ni?”

            Mas dan Lynn mengangguk, serentak.

            “ Bagus! Mak nak kamu berdua buat asam pedas. Bahan – bahan semua mak dah letak atas meja. Buat sedap – sedap, kita makan untuk buka nanti.”

            Mata Lynn menyoroti langkah mak mertuanya itu. “ Erm…Mak nak pergi mana tu?”

            “ Mak nak pergi kelas mengaji dekat masjid. Tak apa kan mak tinggal ni? Jangan bagi terbakar pulak dapur ni.” Mak cik Rahmah sempat berseloroh sebelum berlalu dari dapur. Dia mengambil telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.

            “ Shafiq, plan pertama dah jalan.”

~~~~~~~~

            “ SAMPAI bila kita nak macam ni? Aku tengok kau, kau tengok aku. Kita tengok ikan keli tu and ikan tu tengok kita balik. Mana nak datangnya asam pedas kalau macam ni aje?”

            “ Dah tu, kau sianglah ikan tu.” Balas Lynn semula.

            “ Aku tau aje nak masak asam pedas tapi bab nak menyiang ikan yang aku lemah sikit ni.”

            “ Aku boleh nak siang ikan tu, tapi bila ikan tu dah matilah. Tapi yang ini, still tergedik – gedik. Takutlah aku. Eh, kejap. Aku ada idea.”

            Mata Mas mengekori pergerakan Lynn. Apa pulak yang perempuan ni nak buat? And, memang tak boleh nak ngam lagi dengan dia, okay. Hati ini masih berbulu tapi sebab keadaan darurat, mak mertua nak makan asam pedas, kerjasama dia diperlukan juga bagi menunaikan hajat tersebut.

            Lynn datang dengan balang garam di tangan.

            Muka Mas terus berkerut. “ Eh, kau nak buat apa pulak dengan garam tu?” Siang pun belum, dah bawak keluar garam, apa cerita pulak ni? Belum sempat Mas bertanya dengan lebih lanjut, Lynn menuang hampir separuh garam ke dalam sinki. Hah! Apa lagi, berjoget – joget ikan kat dalam tu. Mereka berdua menjerit dan terus lari menjauhi sinki.

            “ Oit! Kau gila ke? Apa kau ingat tu lintah? Pacat? Aci main simbah garam je?” Marah Mas pada Lynn dengan pisau masih berada di tangan. Kalau orang tengok dia sekarang, mesti ingat dia naik amuk nak bunuh madu dia, si Lynn ni tapi tidak…Ini cerita lain. Pisau itu buat pelindung diri, takut kalau – kalau ikan tu keluar terbang dari sinki. Hehehe

            “ Lah, mana aku tahu, aku test aje…Mana tahu, kot – kot jadi, mati ikan – ikan tu.”

            “ Dah tu, kau pergilah tengok. Apa dah jadi dengan ikan – ikan tu.” Mas menyuruh Lynn mendekati sink itu. Lynn terus memberanikan diri merapatkan diri ke sinki.

            “ Eh, ikan – ikan tu dah tak gerak sangatlah. Hoho, berkesan jugak teknik aku ni.” Lynn ketawa sendiri sambil menekan perut.

            “ Apa lagi, simbahlah lagi garam tu, biar terus tak bergerak dah.” Dan Lynn, tanpa ragu – ragu, terus menyimbah baki garam yang ada.

            “ Hehehe…Oh yeah! Asam pedas, here we come!” Tanpa dia sedari, Mas mengangkat tangan, meminta hi-five, dah Lynn memberinya. Tapi masing – masing terus diam selepas itu dan Lynn terus menyiang ikan. Mas pula terus ke belakang rumah, mahu mengambil beberapa tangkai daun kesom.

            “ Fuhh...Awkward…” Mas menghela nafas panjang bila angin petang mula menyapa muka.

            Shafiq memandang dari atas dengan senyuman lebar terukir di bibir. Ralit sahaja dia memerhati dari tadi. Dah lama balik, tapi sengaja duk mengintai dua isterinya itu beraksi di dapur.

~~~~~~~~~~

            BATTLE of the rendang la pulak! Aiseyh!  Hah, jangan ingat ada battle of the bands je, rendang pun boleh buat battle kalau nak. Disebabkan Shafiq nak rendang ayam, mak pulak nak rendang daging, terpaksalah buat dua – dua. Anak – beranak dua orang tu pun satu, aci main request aje nak makan apa lepas kejayaan cemerlang asam pedas ikan keli hari itu. Masak lemak siput sedut lah, tomyam campur lah, kuih koci lah. Rasa macam dah buka gerai kat bazaar tu pulak.

Ada satu hari tu, nak makan badak berendam, manalah tahu buat. So, Mas dengan Lynn terkedek – kedek jalan kaki pergi beli kat bazaar.  Mungkin tak berkat punya pasal, adalah accident hari tu. Yelah, orang suruh buat, bukan beli. Kang dapat ubat! Nak elak motor punya pasal, hah, Mas tergelincir dan jatuh tergolek masuk dalam sawah. Si Lynn ketawa baik punya, siap terduduk lagi kat tepi tu. Bukan nak tolong. Mas hulur tangan, meminta bantuan. Lynn bagi tangan. Mas tarik dan Lynn landing satu badan dalam sawah tu. Ambik! Bila balik rumah, buat muka paling comel. Mak dengan Shafiq tak tanya apa. And badak berendam tu ada aje bila berbuka hari itu. Macam mana boleh ada, malas ambil tahu, tapi for sure tak nak makan. Bukan badak tu berendam, kita orang ni yang berendam dalam sawah tau!

One…two…Jus!” Lynn keluar gunting, Mas bagi kertas.

“ Hah, kau buat daging, aku buat ayam. Oh yeah!” Lynn bersorak gembira. Akhirnya, dapat jugak dia membuat rendang ayam. Nasiblah. Kau jugak bagi idea suruh main one..two..jus…Aku menang, aku buat ayam. Hahaha

Mas menarik muka. Nak buat ayam, tapi dapat daging! Erm…Biarlah! Lagipun, tukar ajelah resepi tu, apa susah. Dari pakai ayam, kita pakailah daging. Kan? Yang lain tu semua sama.

Mas mengisi serai, lengkuas, halia, daun limau purut, bawang dan cili ke dalam pengisar. Sempat juga dia mengerling melihat apa yang Lynn sedang buat sementara menunggu semua bahannya tadi siap dikisar. Bulat sekejap mata Mas bila melihat ada buah keras dalam kalangan bahan – bahan Lynn yang mahu dikisar. Rendang pakai buah keras ke?

Seakan membaca fikiran Mas, Lynn terus menjawab. “ Ini rendang stail minang punya, pakai buah keras atau kemiri, nanti rasalah.” Mas terangguk – angguk sambil menjuih bibir. Yakin je muka, entah sedap ke tak nanti. Kita tengok.

Keletang, keletung dan siaplah rendang daging dan ayam. Macam mana rasa? Itu kena tunggu bila buka nanti.

“ Siap dah rendangnya?” Muka Mak cik Rahmah tersembul di muka pintu, sengaja buat spot check! Sejak ada dua orang menantu ni, senang kerja. Nak makan apa, aci main sebut aje. Syok!

“ Siap dah mak! Tu hah, ada dalam periuk tu.” Lynn menjawab. Mas sudah tidak ada tenaga lagi. Pening kepala semenjak tadi. Lapar pun lapar.

            “ Erm…Tak apalah kalau macam tu. Malam ni tolong mak rebus ketupat pulak, boleh?”

            “ Boleh aje,” jawab Lynn semula. Mak cik Rahmah memandang Mas menunggu jawapan, tapi Mas buat muka blur – blur ikan.

            “ Mas, boleh tak?” Tanya Mak cik Rahmah lagi.

            “ Boleh…boleh…” Mas menjawab dengan matanya hampir terkatup.

            “ Pergilah tidur dulu Mas, nanti nak buka, mak kejut. Penat sangat nampak gayanya.” Mas terangguk – angguk. Bagai orang disorongkan bantal. Memang dia hendak melelapkan mata walau sekejap cuma.

            Dan battle of the rendang? Siapa yang menang? Tunggu…

~~~~~~~~~

            TAKBIR raya kedengaran dari masjid. Mas dan Lynn masing – masing sedang bersiap setelah selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid tadi. Shafiq pula sudah lama siap, menunggu kedua mereka di meja makan. Juadah terhidang di atas meja betul – betul menarik selera. Apa nak? Cakap je…Semua ada. Highlights of the day? Sudah tentulah rendang kedua isterinya itu.

            “ Mak, beritahulah Shafiq, mana satu yang sedap? Daging ke ayam?”

            “ Eh, rasalah sendiri. Tekak lain – lain, mana nak tahu sedap mak sama ke dengan kamu tu.” Jawab Mak cik Rahmah semula.

            Tangan Shafiq terus mencapai sudu tetapi ditepis pula tangannya oleh maknya itu.

            “ Apa mak ni? Orang tanya, tak nak beritahu. Bila orang nak rasa, tak bagi pulak!”

            “ Ish, sabarlah. Tunggu dia orang siap dulu, makan sama – sama.”

            “ Mak!” Lynn dan Mas serentak keluar dari bilik masing – masing. Mereka bertukar – tukar pandangan dan tersenyum. Mata Shafiq macam nak tercabut. Eh, dah okey ke dia orang berdua ni? Boleh ngam dah ke? Shafiq memandang maknya, cuba meminta penjelasan tetapi Mak cik Rahmah hanya menjungkit bahu. Argh…Biarkan. Yang penting, dua – dua bini aku dah okey, hidup aku jugak yang aman kan?

            “ Mak cik Mah…Oh, Mak cik Mah…”

            “ Si Lan ni nak apa lagi? Dengan salam pun tak ada, ikut pintu belakang pulak tu.” Mak cik Rahmah membebel sendiri sebelum menuruni tangga dan terus ke pintu belakang. Lan, anak Mak Ngah Chik sebelah rumah memanggil lagi. Entah apalah pula buah tangan yang mahu diberi lagi kali ini.

            “ Rasalah rendang daging tu, abang…” Lynn menyuakan rendang daging, air tangan Mas kepada Shafiq. Mas buat muka selamba padahal dalam hati berdebar – debar tunggu penilaian dari Encik Shafiq ni.

            “ Erm…”

            ‘Erm’ aje?

            “ Nak yang ayam pulak…” Pinta Shafiq pula. Mas mengisi pinggan Shafiq dengan seketul ayam rendang buatan Lynn. Lynn memang tunjuk muka excited menunggu penilaian dari Shafiq.

            “ Erm…”

            Lynn dan Mas, dua – dua buat muka. Kerek pulak mamat ni! Aci cakap ‘erm’ aje?
            “ Abang suka ayam lagi dari daging.”

            “ Oh yeah! Aku menang! Yuhuuu…..” Lynn melompat kegembiraan. Mas tersenyum  dan membiarkan sahaja Lynn bersorak gembira sendiri. Shafiq tersengih melihat gelagat isterinya itu. Orang muda, lain sikit dari yang tua, tak gitu? Hohoho…

            “ Hehehe… Awak jangan marah ye, awak. Saya cakap benda yang betul aje. Rendang awak sedap aje, tapi rendang Lynn kan, baru first time saya makan, so, bila benda baru ni, dia rasa sedap sikit.” Shafiq sebaik mungkin mengeluarkan kata – kata supaya hati Mas tidak tersinggung. Mas relaks aje.

            Seakan baru sedar, Lynn berhenti bersorak. Dia membetulkan rambut dan bajunya, sambil menoleh ke kiri dan kanan. Mujur! Tak ada orang tengok perangai aku yang kurang sihat tadi.

            “ Hah, ni tapai Mak Ngah Chik bagi.” Mak cik Rahmah meletakkan bekas berisi tapai ke atas meja. Shafiq laju sahaja menyambar. Lepas satu, ambil lagi satu dan lagi, dan lagi. Hidung Lynn pula kembang – kempis. Mas terpaksa menekup mulut. Dan serentak, mereka berdua bangun dan berlari ke arah sinki.

            “ Uwekkk!!!” Kedua mereka berlawan membuat isi perut di sinki masing – masing. Mujur ada dua, kalau tak, satu kerja pulak nak take turn muntah. Motif sangat! Shafiq mengurut belakang Mas dan Lynn, menepuk lembut belakang mereka. Mak cik Rahmah pula hanya duduk memerhati dari atas sambil tersenyum.

            “ Wah, syok mak tahun depan punya raya Shafiq, dapat dua cucu terus!”

            Shafiq buat muka blur tapi sekejap cuma. Dan dia tersengih pula. Mas dan Lynn masing – masing duk perah otak, mengira.

            Shafiq jungkit – jungkit kening memandang kedua isterinya itu. “ Puasa penuh kan dua – dua?” Tanya Shafiq semula. Mas dan Lynn mengangguk.

            “ Yuhuuu!!! Oh…Yes!” Tangan Shafiq terhunus di udara.

            “ Tahun depan ada babies, yeye…”

            “ Tapi tahun depan kan, balik kampung saya…” Mas tiba – tiba bersuara kembali, sekaligus memberhentikan joget lambat adhoc Shafiq tadi.

            “ Cik Mas sayang, kampung awak tu, kalau kentut dari sini pun, sampai baunya kat sana tau! Bukan ke petang nanti kita pergi kampung awak jugak?”

            Mas tersengih. Lynn dan Mak cik Rahmah sudah bantai gelak. Betul jugak. Rumah aku kat seberang jalan aje. Aisey!

            “ Erm…esok, lusa kita pergi check doktor. Biar mak letak kat pangkin luar dulu tapai ni. Kalau tak, mahu duk uwek uwek laginya.” Mak cik Rahmah mengambil bekas tapai itu dan diletakkan di pangkin rumah. Kejap lagi, bila nak pergi rumah Samad kat kampung sebelah, akan diberinya tapai itu.

            Mak cik Rahmah melihat Kajol yang diikat di tepi pangkin. Dia menuding jari ke arah Kajol. “ Kau, Kajol, duduk diam – diam situ. Jangan diusiknya tapai aku tu.” Bersungguh Mak cik Rahmah memberi warning kepada Kajol sebelum masuk semula ke dalam rumah. Tapi, lembu ni macam orang jugak. Benda yang dilarang tulah yang dibuatnya. Nak terjojol biji mata Mak cik Rahmah bila melihat tapai yang ditinggalkan atas pangkin tadi hilang. Tinggal bekas aje di kaki Kajol.

            “ Mak, cepatlah. Apa lagi dilayannya si Kajol tu? Kata nak pergi rumah Pak cik Samad…”

            Mak cik Rahmah menggetap bibir, geram tak terkata dengan Kajol.

            “ Ada jugak aku sembelih kau ni! Hish!” bebel Mak cik Rahmah lagi sebelum terkedek – kedek berjalan menuju ke kereta anak menantunya.

            “ Hah, mak duduk depan. Adil!” Shafiq sempat tersengih sambil menjeling tajam pada Mas. Mas buat tak tahu aje.

            Kanak – kanak berbasikal dengan baju raja masing – masing memenuhi jalan – jalan di kampung mereka. Pagi ini redup juga, senanglah nak beraya ke mana – mana tanpa perlu bermandi peluh sangat. Mas terus tersedar dari lamunannya bila terasa ada tangan yang menyentuh. Lynn menggengam rapat tangan Mas. Mas tersenyum. Dia mengambil tangan Lynn. Ya, di pagi yang mulia ini, dia mahu membuka tabir baru dalam hidupnya. Kehadiran Lynn dalam hidup dia dan Shafiq mahu diterima dengan sepenuh hati. Biarlah mereka hidup dengan penuh rukun dan damai.

Lepas tiga minggu duduk bersama, okey aje Lynn ni. Kenalah terima juga sebab dia juga yang mengundang Lynn masuk ke dalam hidup mereka. Lagipun, dah kena ceramah kekeluargaan dengan mak waktu buat ketupat semalam. Lambat – laun kena berbaik jugak, jadi apa salahnya kalau mula dari sekarang, kan?

            Shafiq melihat semua itu dengan cermin pandang belakangnya. Di dalam hati, dia memanjat kesyukuran. Kedua isterinya mahu juga berbaik. Sweetnyee…Dia tersenyum memandang emaknya di sebelah.

            “ Mak, hi-five sikit?” Shafiq mengangkat tangan kirinya. Mak cik Rahmah melayan aje. Lynn dan Mas tersenyum di belakang. Tidak tahu apa yang di hi-five kan.

            And they three live happily ever after….The End!

1 comment:

  1. waahhh... respect giler dengan mas.. sanggup dia bagi laki dia kawin dngan best pren sndri... oh no!!! i cannot do it!!!!

    ReplyDelete